Diari Kurus

13 Tip Untuk Ibu Bapa Tangani Obesiti Anak Anda

Statistik perangkaan daripada Tinjauan Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Malaysia menunjukkan bahawa sebanyak 43 peratus daripada rakyat Malaysia mempunyai berat badan yang berlebihan dan gemuk melampau atau obesiti, manakala kira-kira 38 peratus daripadanya adalah terdiri daripada golongan kanak-kanak dan remaja yang mempunyai berat badan berlebihan.

1

Memiliki anak-anak yang tembam dan montel memang nampak comel di mata semua orang, namun perkara ini bukanlah sesuatu yang normal kerana anak yang gemuk sejak kecil lazimnya akan mengalami masalah berat badan apabila mereka dewasa kelak. Kadar obesiti amat membimbangkan jika tidak dikawal dan dibendung sejak kecil kerana berpunca dari masalah kegemukan, pelbagai penyakit kronik akan menjadi sarang dalam tubuh anak kecil anda. Kebiasaannya ia sering dikaitkan dengan penyakit yang berisiko tinggi seperti kardiovaskular, masalah pernafasan, darah tinggi, masalah reflux (GERD), diabetes dan pelbagai masalah yang lain. Oleh itu kanak-kanak yang obes mempunyai risiko lebih tinggi mengalami masalah berkenaan.

Berikut kami kongsikan 13 tip yang boleh diamalkan oleh ibu bapa sebagai langkah menangani dan mengawal lebihan berat badan anak-anak anda.

Untuk memastikan bahawa seseorang kanak-kanak itu mempunyai berat badan yang ideal, satu graf tumbesaran (growth chart) yang khusus akan digunakan. Graf ini juga agak berbeza kiraannya bagi bayi atau kanak-kanak lelaki dan perempuan berpandukan kepada kadar tumbesaran mereka yang mungkin tidak sama. Graf ini boleh didapati di dalam buku imunisasi anak-anak. Oleh itu, dengan berpandukan kepada graf tersebut, kita boleh mencatatkan berat dan ketinggian anak dan daripada situ kita boleh menentukan sendiri dan maklum sama ada anak itu berada di tahap berat badan yang ideal, terlebih berat badan mahupun kekurangan berat badan.

Hasil perkongsian daripada pakar diet dan fitness, Kevin Zahri, beliau telah menyenaraikan 10 cara atau kaedah yang ibu bapa boleh amalkan untuk mengawal berat badan anak mereka. Antaranya ialah;

1. Biar kasih sayang bertempat: Ramai ibu bapa gunakan makanan sebagai tanda kasih dan sayang. Tapi kalau anda betul-betul sayang, janganlah masak atau beli makanan yang menggemukkan sepanjang masa. Nanti yang susah anak tu juga. Kesian dia.

2. Teladan yang baik: Kalau anda sendiri mengalami masalah berat badan, cubalah untuk kurangkan berat badan dan menjadi contoh teladan kepada anak anda.

3. Tetapkan peraturan pemakanan: Disiplin dalam pemakanan kanak-kanak tu penting. Macam cikgu sekolah juga, anda perlu tetapkan waktu-waktu makan, bila makanan ringan dibenarkan dan aktiviti riadah. Pastikan anda enforce peraturan dan garis panduan anda denga konsisten.

4. Makanan ringan untuk hujung minggu: Biarlah makanan sepanjang Isnin-Jumaat sihat dan seimbang. Ganjaran makanan ringan seperti ais krim, chips, kuih dan lain-lain sesuai untuk hujung minggu dan cuti sekolah.

5. Masa riadah setiap hari: Di zaman cyberworld, penting untuk memaksa kanak-kanak anda untuk keluar rumah dan melibatkan diri dalam aktiviti2 fizikal seperti bersukan, bermain dengan jiran dan lain-lain lagi. Jangka masa yang sesuai adalah 60 minit setiap hari!

6. Kawal masa untuk PS3 dan telefon bimbit: Macam dalam tip di atas, pastikan anda mengawal waktu dan penggunaan alat permainan dan telefon bimbit kerana kedua-duanya penggalak MALAS!

7. Sediakan snek yang sihat: Sarapan, makan tengah hari dan malam mungkin lebih mudah untuk dikawal, tetapi makanan di antara hidangan atau snek adalah pencetus kegemukan kerana ia selalu TIDAK dikawal dan dipenuhi makanan yang TIDAK sihat. Jadi pastikan anda sediakan snek yang mudah dan sihat untuk kanak-kanak anda. Contoh adalah sandwich tuna, cereal oat, buah-buahan.

8. Ketahuikah keperluan kalori anak anda: Setiap individu mempunyai keperluan kalori yang berbeza, termasuklah kanak-kanak. Ia bergantung kepada jantina, umur dan paling penting kadar aktiviti harian kanak-kanak tersebut.

Semak diri: Tahukah anda keperluan kalori seharian anda mahupun diri sendiri?

9. Buang tabiat lama: Kalau anak anda mengalami masalah kegemukan, cuba buang tabiat-tabiat yang kurang sihat untuk jangka masa panjang. Pastikan perubahan pemakanan dan gaya hidup adalah kekal supaya ia menjadi tabiat yang baru untuk sepanjang hayat.

10. Ia tanggungjawab anda: Jangan serahkan tanggungjawab kesihatan kanak-kanak anda kepada pihak ketiga seperti pengasuh, cikgu sekolah mahupun orang gaji. Kalaulah anda betul-betul sayangkan anak anda, pastikan berat badannya pun dalam kawalan anda.

Sebagai tambahan, terdapat 3 lagi cara dan contoh yang positif sebagai panduan bagi ibu bapa itu sendiri membantu anak-anak mengamalkan gaya hidup aktif.

11. Rancang aktiviti fizikal yang mudah, menyeronokkan dan tidak membosankan. Jadikan aktiviti fizikal sebahagian daripada amalan harian keluarga anda dengan keluar berjalan-jalan atau bermain secara aktif bersama-sama. Sediakan peralatan yang menggalakkan anak-anak anda melakukan aktiviti fizikal atau anda boleh cuba cara lain dengan membawa mereka ke tempat yang membolehkan mereka bergerak aktif seperti taman permainan, padang bola atau gelanggang bola keranjang. Sebagai ibu bapa, peranan anda adalah sebagai penggalak mereka agar sentiasa bersikap positif dan menyokong aktiviti fizikal yang dilakukan oleh anak-anak anda, di samping menggalakkan mereka meminati aktiviti-aktiviti baru.

12. Kurangkan menonton televisyen. Selepas makan, galakkan anak-anak anda melakukan aktiviti mereka sendiri atau bersama kawan-kawan atau anggota keluarga, seperti berjalan-jalan, bermain kejar-mengejar atau menunggang basikal.

13. Pantau diet pemakanan keluarga. Pastikan seluruh ahli keluarga anda dalam proses pengambilan diet pemakanan yang sihat dan seimbang. Ini akan mengurangkan rasa terpencil dalam proses itu. Pastikan bila anda memilih makanan , makanan itu tinggi dalam serat dan juga lemak yang rendah. Katakan TIDAK pada gula-gula dan segala jenis junk food. Sekiranya anak anda berumur lebih 2 tahun, cuba gunakan susu yang rendah lemak kerana ia boleh membantu mengurangkan berat badan mereka. Pastikan juga anak-anak makan di atas meja makan.

Nak sihat? Berubahlah!!!

Banyak perilaku atau tabiat keluarga itu sendiri yang menyumbang kepada masalah obesiti sama ada dari segi pengambilan pemakanan keluarga mahupun aktiviti-aktiviti yang dilakukan keluarga seperti malas bersenam. Untuk menukarkan perilaku ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana memerlukan semangat dan azam yang kuat untuk merealisasikan apa yang diingini. Anda khususnya sebagai ibu bapa, jika turut mengalami masalah obesiti dan mahupun kehidupan sihat yang berpanjangan, cuba ubah kepada gaya hidup yang lebih sihat bersama-sama keluarga.

Sesuatu perubahan itu perlu dilakukan secara perlahan-lahan dan tidak terlalu drastik. Mulakan dengan perkara perkara yang kecil dan mudah terlebih dahulu seperti membuat aktiviti fizikal bersama-sama keluarga, misalnya berbasikal bersama-sama. Aktiviti fizikal menggalakkan tumbesaran kanak-kanak yang sihat, menjadikan mereka merasa lebih bertenaga, membolehkan mereka menyelaras kawalan pergerakan, mengekalkan berat badan yang sihat dan membantu memastikan kesihatan fungsi badan mereka.

2952C8DE00000578-3109136-image-a-66_1433332818265
Di samping itu, aktiviti fizikal membantu dari segi kesihatan mental, dengan melegakan gejala tekanan dan kebimbangan, dapat meningkatkan keyakinan diri, peningkatan dalam pencapaian akademik dan membantu membaiki kemahiran untuk memberi tumpuan. Apabila sudah boleh konsisten dengan aktiviti tersebut, maka langkah berikutnya adalah dengan mendisiplinkan diri dalam mengawal pengambilan kalori dan diet pemakanan harian anda dan anak-anak.

• Meet the Author ➞ diarikurus1



0 comments… add one

Don’t Be Shy » Leave a Comment!

Nak Panduan Kurus PERCUMA? Masukkan Nama & Email 
x