Diari Kurus

Ini Akibatnya Jika Ambil Ubat Pelangsingan Badan. Kesannya sangat Mengejutkan!!!

512Ramai sedia maklum penggunaan pil diet ini mempunyai risiko terhadap kesihatan. Namun, penjualan ubat kurus, pil diet atau pil pelangsingan badan tetap dilangsungkan kerana ia menjadi suatu peluang perniagaan yang cukup menguntungkan. Malahan golongan sasaran yang menggunakan produk pelangsingan kebanyakannya terdiri daripada wanita muda.

1

Tambahan, sudah menjadi fitrah semulajadi setiap wanita ingin kelihatan cantik dan memiliki bentuk tubuh yang menarik. Kebanyakan wanita beranggapan bahawa tubuh yang langsing melambangkan kecantikan dan kejayaan seseorang individu. Dengan penampilan sebegitu mereka lebih berkeyakinan apabila berhadapan dengan masyarakat umum. Jadi, tidak hairanlah ramai yang mahukan diri mereka kelihatan seperti seorang “supermodel’ walaupun ada yang memberi alasan menyahut seruan kerajaan mempromosi budaya hidup sihat.

Kerajaan juga telah mengharamkan penjualan beberapa jenis pil diet yang mengandungi sibutramine atau sintetik sibutramine atas alasan ini. Bagaimanapun, disebabkan permintaan yang tinggi, pil diet yang mengandungi bahan ini terus dijual secara berleluasa di internet dan pasaran gelap tanpa menghiraukan amaran dan kesan sampingannya kelak.

Untuk mengaburi mata orang, ada pengusaha atau peniaga yang menjual produk ini dengan berselindung di sebalik penggunaan istilah pengubatan ‘herba’ tetapi apabila diselidik ternyata ia tetap mempunyai bahan yang sama dan terlarang. Lebih berbahaya ubatan ini dijual tanpa perlu melalui saringan doktor terlebih dahulu.

Risiko serangan sakit jantung dan angin ahmar tidak cukup untuk menakutkan golongan ini. Mungkin mereka tidak tahu ramai rakan pengguna yang telah mendapat penyakit mental seperti bipolar manic, psikosis dan delusional disorder akibat penggunaan ubat diet ini.

 

maxresdefault (1)

Kes : Bipolar Akibat Pengambilan Pil Kurus
Ayu (nama samaran) ialah seorang gadis berusia 25 tahun. Dia mempunyai berat badan 55 kilogram (kg) dan tinggi 150 sentimeter (cm). Dengan body mass index (BMI) sebanyak 24.4 Ayu merasakan dirinya amat gemuk. Apatah lagi Ayu bakal melangsungkan perkahwinannya enam bulan lagi.

Ayu membeli ubat kurus tradisional di sebuah kompleks beli-belah. Ternyata ia memberi kesan mengurangkan selera makan. Ayu sentiasa rasa kenyang walaupun tanpa menyentuh makanan. Ayu hanya bergantung kepada minuman kosong sahaja seharian.

Selepas dua bulan Ayu mengalami penurunan berat badan ketara. Ayu gembira tetapi berbeza pula dengan ibunya. Ibu mengatakan tidak nampak Ayu tidur dalam tempoh itu. Ayu sibuk mengemas rumah, membasuh pakaian dan mengemop lantai sepanjang malam.

Siang hari pula Ayu tidak kelihatan letih. Malahan bertenaga ke sana sini. Percakapannya juga laju dan cepat. Ayu kerap melayari internet. Dia mudah menerima pelawaan kawan baru di Facebook. Dalam tempoh ini juga tunangnya mengadu Ayu telah menghadiri temujanji dengan dua teman lelaki baru.

Ayu selalu keluar rumah lewat malam dengan alasan melawat kawan dan berjumpa orang yang hebat. Ini bukanlah perlakuan Ayu sebenar. Ayu merancang membuka pelbagai perniagaan baru. Dia merasakan dirinya begitu istimewa dan mampu melihat masa depan.

Ayu melenting apabila ditegur. Malah mengatakan tunangnya cemburu dan cuba menghantar ilmu hitam untuk menjatuhkannya. Beberapa hari kemudian perlakuan Ayu semakin di luar kawalan. Ayu mengamuk lalu dia dibawa ke hospital.

Doktor memberhentikan ubat kurus yang ternyata mengandungi sintetik sibutramine dalam dos berlebihan. Ayu kemudian dirawat dan keadaannya pulih selepas dua minggu. Malangnya tunang Ayu telah pun mengambil keputusan memutuskan perhubungan mereka.

weight-loss-pills-drugs

Apa itu Sintetik Sibutramine?
Kajian menunjukkan ubatan tradisional yang digunakan untuk rawatan kegemukan sebenarnya mengandungi sintetik sibutramine. Sibutramine berfungsi sebagai penahan lapar dan struktur molekulnya hampir sama dengan amphetamine, bahan sama untuk dadah jenis syabu atau ais.

Ubatan herba yang mengandungi bahan ephedra juga sama strukturnya dengan amphetamine. Sebab itu penagih dadah jenis ini biasanya tidak tidur malam, tidak lapar dan sentiasa aktif sehinggakan boleh menyebabkan perlakuan agresif.

Dalam keadaan gian, penagih akan merasa lapar dan banyak makan. Kerana itu pengguna ubat kurus jenis ini biasanya mendapat rebound atau mengalami kenaikan berat badan mendadak sehingga dua kali ganda apabila berhenti.

Tidak dapat dinafikan ada negara yang belum mengharamkan penggunaan sibutramine tetapi preskripsinya dibuat di bawah pengawasan rapi doktor. Dosnya juga dikawal sekitar 10 ke 15 mg bagi tujuan penurunan berat badan pesakit obesiti melampau sahaja.

Pesakit yang mempunyai penyakit mental atau sejarah penyakit keturunan jenis bipolar tidak dibenarkan menggunakan ubat ini. Kerajaan membuat keputusan terbaik dengan mengharamkan penggunaan sibutramine. Ada pelbagai kaedah perubatan lain termasuk senaman dan diet yang masih boleh digunakan untuk tujuan menguruskan badan.

Baru-baru ini juga, heboh diperkatakan tentang kes pil langsing badan yang telah menyebabkan seorang warga Singapura meninggal dunia berikutan hatinya gagal berfungsi, manakala seorang lagi terpaksa menjalani pemindahan hati. Sekurang-kurangnya ada 13 lagi kes berkaitan sedang dirawat di hospital. Apakah ini satu trend wanita masa kini, sanggup bergadai nyawa untuk memiliki tubuh yang langsing? Walau apapun persoalannya, amalan ini bukan sahaja merugikan malah tanpa disedari boleh membahayakan kesihatan dan mengancam nyawa sendiri.

Dalam kejadian di atas, pil langsing herba yang mereka gunakan telah dikesan mengandungi “fenfluramine” dan ‘nicotinamide” yang telah diharamkan penggunaan dan penjualannya hampir di seluruh dunia.

Diet-Pills-Produce-Side-Effects

Apakah itu Fenfluramin?

Fenfluramin tergolong dalam kumpulan ubat anoretik yang bertindak mengurangkan paras serotonin di dalam otak. Ia merencat selera makan dan seterusnya mengakibatkan pengambilnya mengalami penyusutan berat badan. Serotonin ialah sejenis bahan kimia yang berfungsi sebagai pengutus saraf di dalam otak.

Ia juga bertindak menghalang serotonin di dalam plasma darah daripada diserap ke dalam platelet (sel-sel pembekuan dalam darah) menyebabkan paras serotonin di dalam darah meningkat.

Apabila kandungan serotonin terlalu tinggi dalam darah ia boleh merosakkan salur darah terutama pada paru-paru dan jantung, kerosakan injap jantung, kelenjar tiroid membengkak, kerosakan hati, tekanan darah tinggi, strok serta gangguan mental. Kegagalan fungsi hati pula boleh berlaku dalam masa satu minggu hingga sebulan jika diambil secara berlebihan. Sekiranya diambil secara berterusan dalam jangkamasa yang lama, ia boleh mengakibatkan radang hati (hepatitis).

Pada kebiasaanya fenfluramin digunakan untuk merawat kes kegemukan melebihi 20 peratus berat badan yang dicadangkan. Ia boleh menurunkan sebanyak 10 peratus berat badan manakala dalam sesetengah kes sehingga antara 15 dan 20 peratus. Ia juga disyorkan kepada pesakit diabetes yang gemuk bagi membantu menurunkan berat badan mereka untuk mengelakkan risiko lain.

Kesan sampingan akibat mengamalkan pil langsing antaranya ialah cirit-birit, mual mulut menjadi kering, hipertensi, sukar hendak tidur, rasa panas badan, berdebar-debar, sakit dada, berpeluh dan kerap membuang air kecil.

Walaupun kebanyakan jenama pil pelangsing telah diharamkan di negara kita, tetapi masih ada lagi yang boleh diperolehi secara haram. Pengambilan pil-pil ini hanya akan mengundang bahaya kerana kebiasaanya ia tidak dilabel dengan lengkap dan pengguna sukar untuk mengenalpasi kesan akibat penggunaannya.

Salah satu langkah terbaik menanganinya ialah kerajaan perlu menarik balik semula jenis produk melangsingkan badan dalam pasaran sehingga penggunaanya disahkan benar-benar selamat. Tindakan tersebut haruslah diambil dengan segera sebelum sebarang risiko yang memudaratkan kesihatan menimpa terhadap para pengguna tempatan.

Selaras dengan itu juga penyiaran dan penerbitan iklan produk-produk tersebut juga patut diberhentikan sama sekali kerana ia secara tidak langsung memainkan peranan yang penting dalam menggalakkan keinginan orang ramai mencuba produk melangsingkan badan.

Sebaik-baiknya jika ingin menguruskan badan lakukannya dengan cara yang selamat dan sihat, iaitu dengan bersenam, bersukan atau apa-apa aktiviti lain yang boleh mengeluarkan peluh. Cuba jauhi penggunaan pil pelangsing kerana ia mendatangkan pelbagai kesan mudarat kepada kesihatan dalam jangka masa panjang malah boleh membawa maut. Pengguna mungkin berpuas hati dengan berat badan yang hilang tetapi risiko jangka panjangnya juga perlu diambil kira sebelum sesuatu yang buruk berlaku.

pills-steroids-clen-check

Bagaimana Ubat Pelangsing Badan Berfungsi

Ubat pelangsing badan sama ada daripada jenis drug atau produk herba ialah ubat yang dapat mengurangkan berat badan atau mengatasi masalah kegemukan. Ia boleh dibahagikan kepada 5 kategori mengikut cara ia berfungsi iaitu:

1. Menghilangkan selera makan
Otak manusia mengandungi pelbagai jenis bahan kimia semula jadi yang mengawal pemikiran, pergerakan dan fungsi organ-organ lain. Sesetengah ubat pelangsing badan bertindak dengan meningkatkan paras kimia ini terutama serotonin dan dopamine yang merencat selera makan. Ini akan mengakibatkan seseorang itu kurang makan dan akhirnya berat badan akan susut.

Contoh-contoh ubat adalah: Bagi jangkamasa pendek: fendimetrazin tartrate, metamfetamin, fentermin, fenfluramin, deksfenfluramin, dietilpropion, mazindol, benzfetamin dan fenil propanolamin.

Bahaya: Secara amnya; insomnia, mengalami mimpi ngeri, keresahan, lekas marah, keletihan, kemurungan, mulut kering, anoreksia, kekejangan pada kawasan perut, gangguan gastro, pening, gementar, masalah koordinasi, berpeluh, palpitasi, degupan jantung kencang, tekanan darah menjadi tinggi atau menurun, gangguan libido, impoten, kerosakan hati, jantung, penggantungan atau ketagihan dan tindakbalas psikotik termasuk skizofenia.

Selain dari dadah terdapat juga peptid hormon yang mampu merencat selera makan. Contohnya leptin, neuropeptid-Y, kolesistokinin, glukagon dan melanokortin. Walau bagaimanapun hormon-hormon ini masih dalam peringkat kajian.

2. Mengubah metabolisma lemak badan
Enzim lipase dari pancreas bertindak memecahkan lemak dalam makanan dan menjadikannya molekul yang lebih kecil iaitu asid lemak dan gliserol dan seterusnya menyerap ke dalam usus kecil. Terdapat ubat pelangsing badan yang dapat menghalang sebahagian enzim ini daripada bertindak memecahkan lemak dan seterusnya ia akan keluar dari badan melalui najis. Dengan ini hanya sedikit kalori terhasil dan berat badan dapat dikawal.

Contoh: ubat ini adalah orlistat (XenicalÒ) atau tetrahidrolipstatin.

Bahaya: kekejangan pada bahagian perut, cirit birit, gangguan usus, tidak dapat mengawal pembuangan najis atau lelehan najis berminyak.

a-man-wondering-about-a-pill

3. Menghasilkan haba (thermogenesis)
Termogenesis merupakan proses penghasilan haba melalui pembakaran kalori daripada lemak. Ia biasanya berlaku apabila menggunakan kit bersenam. Namun demikian terdapat ubat pelangsing yang mampu merangsang thermogenesis dengan cara menukar lemak yang terkumpul kepada bentuk lemak yang terlarut dan melalui edaran darah akan di bawa ke tisu adipos (brtown adipose tissues) di mana ia akan “dibakar”.

Contoh: Efedrin dan terbiatan efedrin yang biasa diguna dalam merawat selsema dan asma tetapi juga boleh merangsang thermogenesis. Kesan efedrin akan bertambah dengan kehadiran kafein atau salisilat.

Bahaya: Meningkatkan tekanan darah, mempercepatkan denyutan jantung, insomnia, tremor dan ketegangan.

4. Membuang air kecil (diuretics)
Sesetengah ubat pelangsing badan mampu menyebabkan diuresis. Ubat diuretik bertindak dengan cara mengeluarkan air dengan banyak dari badan melalui kencing. Kehilangan air sebanyak 1 liter berkadaran dengan kehilangan berat sebanyak 1 kilogram. Oleh itu berat badan dapat dikurangkan dalam masa yang singkat.

Contoh: Furosemid, asid etakrinik, hidrokloroiazid, amilorid, acetazolamid, bumetanid dan lain-lain biasanya diguna dalam merawat tekanan darah tinggi. Penggunaan ubat diuretik dikesan bagi tujuan mengawal berat badan ahli sukan seperti tinju dan juga sebagai bahan “doping”.

Bahaya: Secara amnya menyebabkan kehilangan air yang banyak, dehidrasi dan ketidakseimbangan elektrolit dan seterusnya akan menyebabkan pula kelesuan, lemah otot, pening, loya anoreksia, impoten, penglihatan berwarna kuning, degupan jantung yang laju dan tidak normal, tekanan darah yang rendah, mulut kering, gangguan mental dan pendarahan dalam perut.

5. Ubat pelawas (laxatives)
Ubat jenis ini merangsang sistem penghadaman dan “mengosongkan” perut dan usus. Biasanya diguna bagi melawas pembuangan najis. Walau bagaimanpun ia boleh menyebabkan cirit birit. Kebanyakan ubat pelangsing jenis herba termasuk dalam kategori ini.

Contoh: Bisacodil, laktulos.

Bahaya: Secara amnya menyebabkan sakit dan kekejangan di bahagian perut, cirit birit yang berpanjangan akan menyebabkan kehilangan air. Vitamin dan garam galian yang banyak dari badan serta memberi kesan bahaya sama seperti diuretik.

Fentermin, orlistat dan diuretik dikategorikan sebagai ubat kawalan di mana penggunaannya memerlukan preskripsi daripada doktor. Ubat pelawas pula boleh dibeli dengan bebas di Farmasi. Lain-lain jenis ubat dan hormon tidak diluluskan oleh kerajaan dan tidak diperolehi di pasaran Malaysia. Walau bagaimanapun anda perlu berhati-hati dengan produk herba atau tradisional yang mungkin dicampur dengan bahan-bahan ini seperti yang telah dikesan di dalam produk herba, Slim 10 dan Bestrim baru-baru ini.

Kesimpulan

Berdasarkan kenyataan dan kes berkaitan dengan pengambilan pelangsingan badan, beringatlah bahawa untuk kurus atau mendapatkan susuk tubuh yang langsing, ia bukanlah sesuatu yang mudah. Tetapi tidak mustahil anda berjaya mendapatkannya. Cuma ingin ditekankan di sini ialah tiada jalan pintas dan tiada produk atau pil-pil magik dalam usaha anda untuk kurus dengan cepat. Ini kerana nikmat yang paling baik ialah memiliki tubuh badan yang sihat.

Jika anda ingin mengurangkan berat badan, lakukanlah dengan cara yang selamat iaitu dengan mengamalkan 3 langkah ini:
1. Diet pemakanan yang betul iaitu rendah lemak, tinggi karbohidrat dan tinggi gentian.
2. Rajin bersenam, sekurang-kurangnya 20 minit, kali seminggu.
3. Nasihat doktor diperlukan jika ingin mencuba ubat pelangsing.

Sumber
prn.usm  utusan  

• Meet the Author ➞ diarikurus1



0 comments… add one

Don’t Be Shy » Leave a Comment!

Nak Panduan Kurus PERCUMA? Masukkan Nama & Email 
x