Diari Kurus

Mesti Cuba!!! 21 Resepi Minuman Detox Yang Menyihatkan

Tubuh kita mengandungi kira-kira 70 peratus air dan ini bermakna setiap hari, sekurang-kurangnya 8 hingga 10 gelas atau bersamaan dengan 2 hingga 3 liter air yang perlu kita minum. Minum air dengan secukupnya akan memberikan banyak manfaat kepada kesihatan kita. Ia membantu menyingkirkan toksin dalam tubuh dan menjadikan kita lebih bertenaga, peka dan fokus. Di samping itu, ia menjadikan kulit kekal lembap dan berseri manakala rambut akan menjadi lebih kuat dan bersinar.

1

Tetapi mampukah kita minum air putih semata tanpa sebarang rasa? Pengambilan air yang disarankan boleh dicukupkan jika kita pandai mempelbagaikan rasanya dan penyediaannya. Sekiranya anda dalam proses berdiet dan menguruskan badan, sebaik-baiknya elakkan pengambilan gula dalam makanan dan juga minuman. Kerana itulah diperkenalkan infused detox water atau lebih dikenali sebagai air detox.

Perkongsian sebelum ini aadalah mengenai 7 Jenis makanan Untuk Detox dan Minuman yang Menakjubkan untuk Cairkan Lemak Dalam Tempoh 4 Hari. Jadi, sebagai tambahannya kali ini kami ingin kongsikan kepada anda 21 resepi minuman air detox yang telah dipelbagaikan dan anda mesti cuba dan buat sendiri di rumah. Anda boleh minum air ini pada bila-bila masa sahaja seperti minum air kosong cuma air detox lebih menyihatkan, penyediaannya yang menarik dan berperisa, sedap baunya, malahan ianya juga amat menyegarkan.

Selamat mencuba.

Banyak kelebihan yang diperolehi melalui pengambilan air minuman detox ini terutamanya ia membantu menguruskan badan secara sihat tanpa mengambil sebarang produk pelangsingan badan. Air detox memang sangat berkesan, jimat dan mudah untuk disediakan kerana bahan-bahan utama yang digunakan berasaskan air, campuran buah-buahan dan herba. Antara kebaikan air detox ni :

  • mengawal keseimbangan paras gula dalam darah
  • membantu sistem pencernaan dan penghadaman lebih baik dan lancar
  • membantu mencairkan lemak
  • menyahtoksin dalam badan
  • menperkukuhkan sistem imun tubuh
  • mengatasi masalah sembelit
  • mengawal selera makan
  • mengempis dan menjadikan perut rata
  • pemulihan dan pembinaan semula sel dalam tubuh
  • menjadikan kulit lebih sihat dan berseri
  • sakit berkurangan dan alahan
  • membantu merawat pedih ulu hati
  • meningkatkan tenaga dan kadar metabolisme
  • menurunkan paras kolestrol
  • merawat stres dan sakit kepala

Senarai 21 Resepi Air Minuman Detox

1. Teh hijau + daun pudina + limau nipis

Ramai yang tahu teh hijau bagus untuk mengurangkan berat badan. Untuk membuat air detox atau infused water ini rendamkan 10 helai teh hijau dengan air panas. Jika tiada daun teh hijau, boleh juga gunakan 2 sudu besar serbuk teh hijau. Rendam seketika dan tapis habuknya. Kemudian ambil perahan jus sebiji limau nipis dan 5 helai daun pudina. Gaulkan semua bahan ini ke dalam teko yang berisi air. Air ini sedap diminum ketika masih suam mahupun sejuk. Air detox ini membantu mempercepatkan proses pembakaran lemak dalam badan, melancarkan sistem pencernaan kita dan mengurangkan sakit kepala.

2. Strawberi + kiwi + daun pudina

Tubuh kita memerlukan glukosa untuk mendapatkan tenaga yang akan digunakan oleh tubuh agar dapat berfungsi dengan baik. Campuran strawberi, kiwi dan daun pudina berfungsi untuk menyokong gula dalam darah dan membantu sistem penghadaman dengan lebih baik. Resepi air minuman detox ini juga bagus diamalkan oleh mereka yang mengalami masalah kekurangan darah.

Gabungkan hirisan 2 biji buah kiwi dengan beberapa biji buah strawberi dan 7 helai daun pudina ke dalam jag minuman anda. Sejukkan seketika di dalam peti sejuk untuk lebih sedap. Kiwi kaya dengan Vitamin A dan E yang membantu melawan radikal bebas serta mengeluarkan toksin, manakala strawberi pula bagus untuk kesihatan dan kecantikan kulit.

3. Timun + lemon + limau nipis

Air detox ini dipanggil juga sebagai ‘detox water 3-in-1’. Hasil campuran timun, lemon dan limau nipis membantu menjadikan kulit lebih lembut, membantu masalah pencernaan dan sekaligus dapat mengawal selera makan anda. Jadi, kepada anda yang sedang berdiet, air minuman ini sangat sesuai untuk diamalkan kerana membantu mempercepatkan proses penurunan berat badan.

Kaedahnya, hiris sebatang timun, sebiji buah lemon dan sebiji limau nipis. Masukkan ketiga-tiga bahan ini ke dalam jag yang berisi 1 liter air. Boleh simpankan ia di dalam peti atau masukkan beberapa ketul kiub ais untuk lebih kesegaran.

4. Limau nipis + buah oren + lemon

Sistem pertahanan dalam tubuh manusia sangat berguna bagi memastikan agar kita kekal sihat dan bertenaga untuk melakukan pelbagai aktiviti harian. Dengan adanya sistem imun yang kuat, ia dapat melindungi tubuh kita seterusnya terhindar dari pelbagai jenis penyakit. Gabungan rendaman air detox ini terhasil daripada 1/2 biji limau nipis, 1/2 biji buah oren dan 1/2 biji buah lemon yang diperahkan jusnya atau boleh juga dibiarkan terendam selama beberapa jam di dalam gelas yang berisi air kosong. Boleh juga ditambahkan 3 helai daun pudina jika suka. Amalan minum air ini bukan sahaja dapat meningkatkan sistem pertahanan tubuh malahan memudahkan sistem perncernaan dan membantu melegakan pedih ulu hati.

5. Timun +  lemon + halia + daun pudina

Resipi air ini sangat membantu bagi mereka yang memiliki perut boroi atau buncit yang berhasrat untuk kempiskan perut. Resepi air ini sangat mudah untuk disediakan kerana bahan-bahannya juga senang diperolehi. Gabungan antara timun, lemon, halia dan daun pudina sangat bagus untuk mendapatkan perut yang menawan. Caranya, sediakan 1 jag air masak dan hiris sebatang timun, 1/2 biji lemon, 1/2 inci halia. Rendamkan kesemua bahan bersama segenggam daun pudina. Biarkan di dalam peti sejuk selama 2 hingga 3 jam sebelum nikmatinya ketika cuaca panas. Wah, kesegarannya sampai bergetar tulang rusuk.

6. Grapefruit + halia + lemon + limau nipis + daun pudina

Ambil sebiji buah grapefruit, 1/2 batang timun, 1/2 biji buah lemon dan sebiji buah limau nipis, kemudian dihiris-hiris. Campurkan kesemua bahan ini dengan beberapa helaian daun pudina ke dalam jag berisi air. Simpankannya di dalam peti sejuk selama 2 jam dan sedia untuk diminum.

Khasiat yang terkandung dalam buah grapefruit membantu dalam pembakaran lemak, manakala lemon dan limau nipis bertindak dalam penyingkiran toksin dalam badan. Halia yang bersifat anti-radang membantu mempercepatkan penyembuhan serta membuang angin dalam badan. Daun pudina pula memudahkan aktiviti perkumuhan sistem badan.

7. Epal merah + epal hijau + kulit kayu manis

Masukkan hirisan sebiji buah epal merah dan sebiji epal hijau dengan 1 batang kayu manis ke dalam jag yang berisi air. Sejukkan dalam peti ais selama 1 jam. Anda boleh menggunakan bahan ini berulang kali sehingga 4 kali. Campuran bahan-bahan ini dapat membantu mengurangkan lemak, menurunkan paras kolestrol dan meningkatkan kadar metabolisme.

8. Strawberi + tembikai + daun pudina

Warnanya yang merah terang sudah tentu mampu memikat dan menaikkan hasrat anda untuk mencuba air detox hasil gabungan kedua-dua buah ini. Campurkan secawan strawberi bersama 5 hirisan tembikai yang dipotong kecil dan rendamkannya ke dalam 1 jag air. Untuk aroma yang lebih memikat, masukkan beberapa helai daun pudina. Sejukkan air minuman ini antara 4 hingga 6 jam di dalam peti sejuk dan nikmatinya pada bila-bila masa. Khasiat air detox ini berfungsi sebagai anti-radang dan mencantikkan kulit.

9. Cuka epal + lemon + kulit kayu manis + epal

Cuka epal memang banyak khasiatnya. Tambahkan 2 sudu besar cuka epal pada pengisar yang sudah diisikan dengan 1 sudu jus lemon dan 1 serbuk kayu manis. Kisar sehingga halus. Masukkan ke dalam setengah jag air dan jangan lupa letakkan sebiji epal yang telah dihiris nipis. Gaul dan biarkan seketika supaya air sebati dengan bahan-bahan tersebut. Buah epal kaya dengan serat yang membantu memudahkan perkumuhan sementara kayu manis pula membantu mengawal selera makan.

10. Halia + lemon

Halia merupakan penawar bagi banyak penyakit yang berkaitan dengan sistem penghadaman dan pencernaan. Masukkan jus perahan 1/2 biji lemon dan hirisan 1/2 inci halia ke dalam air. Cuba amalkan air detox ini pada setiap pagi dan ia mampu merawat segala kesakitan dalam badan. Campuran halia dan lemon berhasil sebagai agen penyahtoksin dalam badan dan begitu berkesan sebagai ubat semula jadi dalam merawat selesema.

11. Aloe vera + lemon

Aloe vera membantu memudahkan penghadaman dalam perut, selain menghilangkan rasa letih dan meningkatkan tenaga. Kaedah penyediaannya adalah dengan mengambil sebatang aloe vera dan ambil isi berserta lendirnya, lalu dikisar halus dengan campuran perahan jus lemon sedikit air. Anda boleh juga menggunakan pati atau ekstrak aloe vera yang telah dijadikan gel sekiranya tidak tahan dengan rasa dan bau aslinya yang agak kuat. Campurkan 3 sudu gel aloe vera dan 2 sudu besar jus lemon. Kacau rata dan minum ketika sejuk.

12. Lemon + limau nipis + oren + timun + halia + daun pudina

Bagi yang sering kembung perut, boleh cuba amalkan minuman detox ini dengan mencampurkan 1/2 biji lemon, 1/2 biji limu nipis, 1/2 biji oren, 1/2 batang timun dan 1/2 inci halia. Hiriskan kesemua bahan dan rendamkan ke dalam 1 jag berisi air bersama-sama dengan segenggam daun pudina. Simpan dan sejukkan air ini ke dalam peti sejuk selama 2 jam. Kelebihan air detox ini ia dapat mencuci buah pinggang anda. Namun, sekiranya air detox ini tidak diminum dan dihabiskan dalam masa 24 jam, buangkan ia dan buat air menggunakan bahan-bahan yang baru.

13. Strawberi + nanas + cuka epal + daun basil

Corak gaya hidup masa kini yang kian mencabar sering membuatkan kita rasa stress dan tanpa sedar apa sahaja makanan atau minuman yang manis akan menjadi ‘santapan’ untuk kita tenangkan diri. Tetapi, tahukah anda bahawa pengambilan gula yang berlebihan terutamanya dalam minuman bikarbonat akan menyumbang kepada pelbagai masalah kesihatan terutamanya penyakit jantung, kegemukan dan diabetes.

Oleh itu, cara yang paling selamat dan berkesan untuk mengurangkan stress adalah dengan menggantikan segala manisan dengan minuman air detox yang berkhasiat iaitu campurkan 5 biji buah strawberi, 1/2 cawan nanas dipotong kecil, 2 sudu besar cuka epal, 5 helai daun basil dan beberapa kiub ais ke dalam jag yang berisi air. Gaulkan kesemua bahan ini sehingga sebati dan nikmatilah air minuman segar ini dengan rasa yang sedikit masam dan manisnya.

14. Nanas + daun pudina

Nanas merupakan bahan anti-radang yang membantu melegakan sakit sendi dan artritis. Daun pudina menyokong sistem penghadaman dengan mengaktifkan kelenjar air liur dan enzim pencernaan. Cara untuk membuat air ini ialah ambil 1/2 biji nanas dan potong kecil-kecil mengikut citarasa anda. Masukkan potongan buah ini ke dalam jag yang berisi 1 liter air dan tambahkan dengan segenggam daun pudina. Tutup dan simpankan ia ke dalam peti ais. Biarkan semalaman agar campuran ini sebati sepenuhnya.

15. Strawberi + limau nipis + timun + daun pudina

Penyediaannya mudah malah ia juga rendah kalori. Hanya belahkan 7 biji strawberi, kemudian hiriskan sebiji limau nipis dan 1/2 batang timun. Masukkan kesemuanya ke dalam jag yang berisi air. Letakkan beberapa kiub ais dan 5 helai daun pudina.

Strawberi terkenal dengan khasiat buahnya yang kaya dengan antioksidan, timun pula bersifat deuretik yang membantu dalam penyahidratan, manakala limau nipis adalah sangat baik yang bertindak sebagai agen anti-penuaan serta memulihkan kembali rambut, kulit dan kuku.

16. Tembikai

Buah tembikai biasanya dimakan sebagai pencuci mulut. Khasiatnya kaya dengan air, serat, mineral dan vitaminnya. Jika ada lebihan buah ini, jangan biarkan ia tersimpan di dalam peti begitu sahaja. Potong buah tembikai ini kecil-kecil, masukkan air masak ke dalam jag pengisar separas buah dan kisar halus. Sejukkan seketika dan sedia untuk diminum. Tetapi harus diingat, jus tembikai tidak mampu bertahan lama, jadi buangkan ia jika tidak diminum dalam masa 24 jam dan buat sahaja yang baru.

17. Lemon + daun pudina

Air detox yang paling cepat dan mudah penyediaannya ialah dengan mengambil setengah biji lemon, lalu diperahkan ke dalam segelas air masak. Rendam seketika dengan beberapa helai daun pudina. Minum dan amalkan setiap pagi sebaik sahaja bangun dari tidur. Amalan meminum air ini dapat memecahkan lemak di samping membantu sistem tubuh menyahtoksin yang terkumpul dalam badan. Ini akan menjadikan anda lebih sihat dan cergas. Jadi, bagi anda yang berhasrat ingin segera kurus, air detox ini sangat membantu.

18. Epal + kulit kayu manis + rhubarb 

Hiris sebiji epal dan sebatang rhubarb, lalu masukkan bersama sebatang kulit kayu manis ke dalam segelas air yang berisi 3 ketul ais. Buah epal membantu dalam mengekalkan kesihatan tulang dan otot, manakala kayu manis pula merupakan salah satu herba yang paling berkesan sebagai penggalak metabolisme.

Rhubarb pula merupakan sayuran merah yang mengandungi vitamin K yang membantu dalam pembekuan darah. Ia juga mengandungi beberapa antioksidan yang membantu meningkatkan kesihatan kulit, mata, jantung dan sistem imun pada tubuh badan serta membantu metabolisma lemak. Ia digunakan untuk merawat buasir, darah beku, sembelit dan kolesterol tinggi. Namun begitu, tumbuhan rhubarb ini tidak sesuai untuk mereka yang menghidap gout, batu karang, wanita hamil, ibu yang menyusukan anak dan sewaktu haid.

19. Timun + raspberi + anggur

Apa yang anda perlu sediakan ialah 1/2 batang timun dihiris nipis, 5 biji raspberi dan 10 biji anggur hitam dibelah dua. Masukkan kesemuanya di dalam segelas air dan biarkan sejuk selama 1 jam di dalam peti. Air ini bertambah sedap sekiranya bahan-bahan ini dibiarkan lebih lama terendam.

Timun membantu mengembalikan kesegaran akibat penghidratan dan juga baik untuk sistem pencernaan selain membantu membersih dan menyingkirkan toksin dalam badan. Raspberi pula bertindak sebagai agen anti-radang, manakala khasiat yang terkandung dalam anggur bertindak sebagai anti-kanser. Gabungan ketiga-tiga bahan ini sangat membantu anda yang mementingkan kesihatan dan kesejahteraan hidup. Air detox ini sangat sesuai bagi perokok tegar yang berazam untuk berhenti dari merokok.

20. Beri

Inginkan kelainan rasa selain strawberi? Jom cuba resepi istimewa ini dengan masukkan secawan beri sama ada gabungan acai beri, bluberi, mulberi, raspberi dan kranberi atau boleh juga dicampurkan kesemua buah-buahan ini ke dalam mesin pengisar dan isikannya dengan sedikit air separas buah. Untuk kesegaran, tambahkan beberapa kiub ais. Biarkan seketika dan sedia untuk diminum.

Keluarga beri dikatakan mengandungi antosianin dan paras antioksidan yang tinggi selain kaya dengan sumber fiber yang berfungsi menambah baik sistem penghadaman. Manakala Vitamin C yang terkandung di dalamnya pula membantu meningkatkan tenaga dan sistem imunisasi, sebagai anti-radikal bebas, membantu menyihat dan mencerahkan mata, merawat serangan asma serta mengurangkan kolesterol dan memecahkan lemak.  Malah berita baiknya terutamanya bagi kaum wanita, khasiat keluarga beri ini membantu membuatkan kulit anda lebih awet muda, sihat dan berseri. Jadi, tidak hairanlah semua produk kesihatan, kecantikan dan pelangsingan banyak menggunakan beri sebagai ramuan khusus.

21. Campuran buah-buahan (cocktail)

Di sini anda mempunyai kebebasan dalam penyediaan minuman detox yang mana anda punya banyak pilihan untuk menggabungkan buah-buahan yang disukai atau boleh juga dengan menambah semua buah-buahan untuk nikmati rasa yang pelbagai. Tetapi harus diingat, tiada penggunaan buah pisang sebagai minuman detox anda kerana kandungan gula dan karbohidratnya yang agak tinggi.

• Meet the Author ➞ diarikurus1



4 comments… add one
  • Tq sharing .boleh Cuba nanti

    Reply
  • Saya nak tanya adaksh saya kena potong buah setiap hari utk buat air detox? Berapa hari boleh gunakan buah yang samavdgn tambahkan air.

    Reply
  • Is it OK, If I blend together and add on yogurt?

    Reply
  • Bolehkah campurkan lemon dan madu?

    Reply

Don’t Be Shy » Leave a Comment!

Nak Panduan Kurus PERCUMA? Masukkan Nama & Email 
x