
Tabiat makan memang mampu mengubah diri apatah lagi jika rajin meneliti corak pemakanan yang diwarisi secara tradisional di pelbagai pelosok dunia. Antara tabiat pemakanan yang sering menjadi tumpuan adalah diet warisan masyarakat Asia khususnya di Jepun, China, Korea, Vietnam, Thailand dan India manakala di Eropah, cara tradisional pemakanan masyarakat Perancis turut menjadi perhatian. Hasil tulisan perunding pemasaran kelahiran Jepun, Naomi Moriyama menerusi bukunya berjudul Japanese Women Don’t Get Old or Fat, menyelongkar petua di sebalik gaya hidup wanita negara matahari terbit itu yang muda bertenaga. Beliau bukanlah pengamal diet, tetapi rahsianya mudah saja, menikmati masakan rumah cara Jepun. Antara isu yang diketengahkan adalah rahsia pemakanan wanita Jepun yang menampilkan badan mereka yang kekal kurus, ramping dan sihat, malah mampu hidup lama dan awet muda!
Beliau juga yakin jangka hayat hidup yang panjang dan kadar obesiti yang rendah di kalangan masyarakat Jepun banyak berkait dengan jenis makanan disediakan di rumah. Membesar di Tokyo dan kini tinggal di New York, Amerika Syarikat, Naomi pernah mengalami pertambahan berat lebih 10 kilogram dengan ketinggian hanya 150 sentimeter ketika menuntut di kolej kerana banyak menikmati makanan Amerika. Beliau dan suaminya kini bertukar kepada cara makan tradisional Jepun. Kini tubuhnya lebih langsing dan bertenaga. Jadi, beliau berkongsi strategi pemakanannya yang digelar sebagai tujuh rahsia dapur Tokyo.